Sabtu, 21 Mei 2016

sebuah cerita dari Syeikh As-Sariy As-Saqqathy r.a

Syeikh As-Sariy As-Saqqathy r.a. bercerita:
Sekali peristiwa sedang aku berada di Baitul-Maqdis, ketika itu aku duduk di Sakhrah berdekatan dengan Masjid Al-Aqsha. Aku dalam keadaan sedih dan pilu sekali, kerana hari-hari untuk perlaksanaan haji ke Batullah hanya tinggal sepuluh hari saja lagi, jadi aku merasa kesal sekali kerana tidak dapat menunaikan ibadat Haji pada tahun itu
Aku berkata dalam hatiku:
“Alangkah buruknya nasib! Semua orang telah berangkat menuju ke Makkah untuk menunaikan haji, dan kini yang tinggal hanya beberapa hari saja, padahal aku masih berada di sini!”
Akupun menangis kerana ketinggalan amalan Haji tahun ini. Tidak beberapa lama sesudah itu, aku terdengar suatu suara ghaib menyambut tangisanku tadi. Katanya:
“Wahai Sariy Saqathy! Janganlah anda menangis, nanti Tuhan akan mengirimkan utusanNya untuk menghantarmu ke Baitullahil-Haram, Makkah di saat ini juga.!”
Aku bertanya dalam hatiku: Bagaimana ini boleh terjadi, sedang saat ini aku masih di sini, padahal perlaksanaan haji tinggal beberapa hari lagi? Apakah aku akan diterbangkan? atau bagaimana?
Suara itu kedengaran lagi:
“Jangan engkau ragu! Allah Maha Kuasa mampu mempermudah segala yang sukar bagaimanapun caranya.”
Mendengar jawapan itu, aku langsung bersujud kepada Allah untuk bersyukur dengan airmata kegembiraan. Kemudian aku duduk dengan hati yang berdebar-debaran dan hatiku terus bertanya:
“Benarkah apa yang dikatakan oleh suara itu?!”
Tiba-tiba dari jauh tampak dengan jelas empat orang pemuda berjalan cepat-cepat menuju ke masjid, dan kelihatan wajah keempat-empat pemuda itu sangat bersinar. Seorang di antaranya lebih tampan dan berwibawa, mungkin dia itulah pemimpin rombongan ini. Mereka sholat masing-masing dua rakaat. Saya turun dari Sakhrah, lalu mendekati mereka, dalam hatiku berkata:
“Moga-moga mereka inilah orang-orang yang dijanjikan oleh Tuhan dalam suara ghaib tadi!”
Aku mendekati pula pemuda yang aku menganggapnya sebagai pemimpin rombongan ini agar aku dapat mendengar doa dan munajatnya. Aku dapatinya sedang menangis, kemudian dia berdiri, menyentuh hati sanubariku. Selesai bersholat dia lalu duduk dan datang pula ketiga-tiga pemuda yang lain pula yang duduk di sisinya.
Berkata Sariy Saqathy:
Akupun mendekati mereka serta memberi salam kepada mereka.
“Waalaikumussalam,” Jawab pemuda pemimpin itu,
“Wahai Sariy Saqathy, wahai orang yang mendengar suara ghaib pada hari ini. Bergembiralah, bahawa engkau tidak akan ketinggalan haji pada tahun ini.”
Aku hampir-hampir jatuh pengsan, apabila mendengar berita itu. Aku terlalu gembira, dan tidak dapat kusifatkan betapa hatiku merasa senang sekali, sesudah tadinya aku bersedih dan menangis.
“Ya, memang saya dengar suara ghaib itu tadi,” Jelas Sariy Saqathy.
“Kami,” Kata pemuda itu, “Sebelum suara ghaib itu membsikkan suaranya kepada mu itu, kami sedang berada di negeri Khurasan dalam penujuan kami ke Negeri Baghdad. Kami cepat-cepat menyelesaikan keperluan kami di sana, dan terus berangkat ke arah Baitullahi-Haram. Tiba-tiba terfikir oleh kami ingin menziarahi makam-makam para Nabi di Shyam, kemudian barulah kami akan pergi ke Makkah yang dimuliakan oleh Allah tanahnya. Kini kami telah pun memenuhi hak-hak para Nabi itu dengan menziarahi makam-makam mereka, dan kami datang ke mari pula untuk menziarahi Baitul-Maqdis,” Pemuda itu menjelaskan lagi.
“Tetapi, apa pula yang tuan-tuan melakukan ketika di Khurasan awal-awal itu,?” Tanya Sariy Saqathy.
“Kami mengadakan pertemuan dengan rakan kami, iaitu Ibrahim Bin Adham Ma’ ruf Al-Karkhi. Dan saat ini mereka sedang menuju ke Makkah, melalui jalan padang pasir, dan kami pula singgah di Baitul Maqdis.”
Hairanku memuncak kini, apakah benar apa yang mereka katakan itu? Mana Khurasan dan mana pula Sham? Jarak di antara kedua-duanya amat jauh sekali dan jika ditempuh berjalan kaki memakan masa setahun lamanya. Bagaimana mereka dapat menempuhnya dengan sekelip mata sahaja?!
“Moga-moga Allah merahmatimu,” ujarku. “Perjalanan dari Khurasan dan Baitul Maqdis kerap kali ditempuh selama setahun? Bagaimana kamu dapat menempuhnya dalam masa yang singkat sekali?!” tambahku lagi.
“Wahai Sariy, jangan kau hairan!” Kata pemuda pemimpin itu. “Kalau perjalanannya itu sampai seribu tahun sekalipun, bukankah kita ini semua hamba-hamba Allah, dan bumi pun bumi Allah?! Kita pun pergi untuk menziarahi rumahNya, jadi Dialah yang menyampaikan kita ke sana dan kuasa dan kehendak ialah kuasa dan kehendakNya. Tidakkah engkau lihat betapa matahari beredar dari timur dan barat pada suatu hari sahaja, yakni siangnya. Cuba engkau fikirkan bagaimana matahari itu beredar? Apakah ia beredar dengan kuasanya sendiri, ataukah dengan kuasa Tuhan? Kalaulah matahari itu yang hanya jamad (benda yang tidak bernyawa), dan ia tidak ada hisab, (perhitungan) dan tidak ada iqab (siksa) ia boleh beredar dari timur ke barat dalam satu hari, jadi tidaklah mustahil bagi seorang hamba dari hamba-hamba Allah boleh memotong perjalanan dari Khurasan ke Baitul Maqdis dalam satu saat sahaja. Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai kuasa mutlak dan kehendak untuk membuat sesuatu yang luar biasa kepasa siapa yang dicintaiNya atau yang dipilihNya, tiada suatu kuasa yang dapat menghalangi kuasa dan kehendakNya.”
Dia berhenti semula kemudian menyambung lagi:
“Engkau wahai Sariy Saqathy!” Seru pemuda itu tadi, “Hendaklah engkau memuliakan dunia dan akhirat sekaligus?”
Dia menjawab:
“Siapa yang mahukan kekayaan tanpa harta, dan ilmu pengetahuan tanpa belajar serta kemuliaan tanpa kaum keluarga, maka hendaklah ia membersihkan jiwanya dari mencintai dunia sama sekali, jangan sekali-kali ia bergantung kepada dunia, dan jangan sampai hatinya mengingatinya sama sekali!”
“Tuan! demi Allah yang telah menggutamakanmu dengan Nur cahayaNya, dan Yang telah Membukakan bagimu darihal rahsia-rahsiaNya, sekarang engkau akan berangkat ke mana?!” tanya Sariy Saqathy.
“Kami akan berangkat untuk menunaikan haji, kemudian menziarahi maqam nabi alaihis-shalatu was-salam.”
“Demi Allah, aku tidak akan berpisah denganmu lagi, kerana berpisah denganmu bererti berpisahnya roh dengan jasad,” Aku merayu kepadanya.
“Kalau begitu, marilah kita berangkat bersama dengan menyebut Bismillah.”
Dia mula bersia-siap dan berangkat jalan. Aku pun menurut di belakangnya. Sebentar saja kami berjalan, tiba-tiba sudah masuk waktu solat zohor.
“Wahai Sariy, sekarang sudah masuk waktu Zohor, engkau tidak bersolat Zohor?!” tanyanya.
“Ya, aku akan bersolat Zohor”, kataku.
Aku pun segera mencari debu bersih untuk bertayammum. Tiba-tiba kata pemuda itu:
“Tak perlu tayammum. Di sini ada mata air tawar, mari ikut aku ke sana!”
Aku sebagai orang yang bodoh ikut ke jalan yang diarahkan. Di situ memang benar ada sebuah mata air tawar, rasanya lebih enak dan lebih manis dari rasa madu.
Aku pun berwudhuk dengan air itu serta meminumnya dengan sepuas-puasnya. Kemudian aku berkata kepadanya:
“Tuan! demi Allah, aku telah melalui jalan ini berkali-kali, tetapi tak pernah aku menemui mata air ini, ataupun air apa pun di tempat ini?!”
“Kalau begitu kita harus bersyukur kepada Allah atas kemurahanNya terhadap hamba-hambaNya.”
Kamipun bersholat bersama-sama, kemudian berjalan lagi hingga dekat ke waktu Asar. Aku tidak percayakan diriku ketika aku lihat menara-menara tinggi Negeri Hijaz itu. Tidak beberapa lama sesudah itu, aku terlihat tembok-tembok Kota Makkah. “Oh, ini Makkah! bisik hatiku. Betulkah aku dalam keadaan sedar, ataupun mungkun ini hanya sebuah impian malam saja!!!
Tiba-tiba tercetus dari mulutku, “Eh kita sudah sampai ke Makkah?!” Aku terus menangis dan airmataku menjirusi seluruh pipiku.
“Wahai Sariy,” Kata pemuda itu. “Engkau sudah sampai di Makkah. Sekarang engkau hendak berpisah denganku ataupun kau hendak masuk bersama-sama denganku?!” Tanya pemuda itu.
“Ya, saya akan masuk bersamamu,” Jawabku.
Kami pun masuk Makkah itu menerusi pintu Nadwah. Di situ aku temui dua orang laki-laki sedang menunggu kami. Seorang agak sudah tua parasnya dan yang lain pula masih muda dan tegak lagi.
Apabila kedua orang laki-laki itu melihat pemuda tadi, mereka tersenyum dan serta merta mereka datang dan mendakapnya. Kemudian sebut mereka: Alhamdulillah alas-salaamah! (segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kamu.)
“Tuan, siapa mereka ini” tanyaku.
“Ah,” bunyi suaranya. “Yang tua ini ialah Ibrahin Bin AdHam dan pemuda ini ialah Ma’ruf Al-Karkhi.”
Akupun bersalaman dengan mereka.
Kami sekelian duduk di dalam masjid itu hinggalah tiba waktu sholat Asar. Kemudian kita bersholat pula sholat Maghrib dan Isyak di Masjidil Haram itu.
Sesudah itu, maka masing-masing mereka mengambil tempat-tempat sendiri di dalam masjid itu bersholat bermacam-macam sholat. Aku juga turut bersholat sekadar kemampuanku sehinggalah tertidur dengan nyenyaknya. Apabila aku tersedar dari tidurku itu aku dapati mereka sudah tidak ada lagi di situ. Aku cuba mencarinya di merata Masjidil-Haram itu, tiada suatu ceruk pun melainkan sudah aku amat-amatinya, namun bayangnya pun tidak kudapati. Ke mana mereka telah pergi? aku merayau-rayau di situ selaku orang gila yang tidak tentu arahnya.
Kemudian aku pergi mencari mereka di merata tempat lain, di sekitar Masjidil-Haram, dan merata-rata kota Makkah, di Mina, dan di tempat-tempat lain lagi, namun aku tidak menemui walau seorang pun dari mereka.
Aku merasa sedih sekali, dan kadang-kadang aku menangis seorang diri, kerana telah terpisah dari mereka itu sekelian.
Moga-moga Allah merahmati mereka sekelian!.

0 komentar:

Posting Komentar

http://www.resepkuekeringku.com/2014/11/resep-donat-empuk-ala-dunkin-donut.html http://www.resepkuekeringku.com/2015/03/resep-kue-cubit-coklat-enak-dan-sederhana.html http://www.resepkuekeringku.com/2014/10/resep-donat-kentang-empuk-lembut-dan-enak.html http://www.resepkuekeringku.com/2014/07/resep-es-krim-goreng-coklat-kriuk-mudah-dan-sederhana-dengan-saus-strawberry.html http://www.resepkuekeringku.com/2014/06/resep-kue-es-krim-goreng-enak-dan-mudah.html http://www.resepkuekeringku.com/2014/09/resep-bolu-karamel-panggang-sarang-semut-lembut.html