Al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad
Makam Al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad |
oleh: Husnain Muhammad Makhlof – bekas Mufti Mesir
Beliau adalah Syeikh Al-Islam, atau mahaguru, penganjur dan
pemimpin utama dalam jejak dakwah dan pendidikan, dari keturunan Sayyid, yang
mulia, Abdullah bin Alwi Al-Haddad Al-Alawi Al-Husaini Al-Hadrami As-Syafa’i,
Imam Ahli zamannya, yang sering berdakwah kepada jalan Allah, berjuang untuk
mengembangkan agama yang suci dengan lisan dan penanya yang menjadi tumpuan dan
rujukan orang ramai dalam ilmu pengetahuan. Beliau telah dilahirkan di salah
sebuah kampung di kota Tarim, iaitu salah satu kota negeri Hadhramaut yang
terkenal, pada malam 5 haribulan Safar, tahun 1044 Hijrah. Beliau lalu
dibesarkan di kota tersebut, yang terkenal sebagai pusat penetapan kaum Ashraf
(keturunan Sayyid) dari keturunan Sayyidina Husin bin Ali bin Abi Thalib. Di
sanalah beliau mendapat pelajaran Al-Quranul Karim serta menghafalnya. Di masa
kecil, beliau kehilangan pandangannya disebabkan tekanan penyakit cacar. Akan
tetapi Allah SWT telah menggantikan pandangan lahir itu dengan pandangan batin.
Beliau terus menuntut ilmu agama dan mendalaminya, sehingga menjadi pintar dan
jaguh dalam segala selok-beloknya. Kemudian beliau mendampingi para ulama yang
terkenal di zamannya, sehingga Allah Ta’ala mengurniakan kekuatan menghafal
yang sangat menakjubkan serta fahaman yang luar biasa. Beliau terus
bersungguh-sungguh dalam menjalankan amal ibadatnya, menyertakan amal di
samping ilmu. Demikianlah cara hidup beliau dari sejak umur remaja hingga ke
umur dewasa dan ke umur tua. Kemudian beliau mula bergiat untuk mendidik
murid-muridnya, dan membimbing peminat-peminat untuk menuju ke jalan Allah
Ta’ala. Lantaran itu, ramailah pelajar-pelajar ang datang mengunjunginya dari
merata ceruk dan rantau, sehingga dengan itu tersebar luaslah manfaat yang
ditabur oleh beliau ke merata tempat. Beliau sering juga merantau dan
mengunjungi beberapa negeri untuk tujuan dakwah dan menyebarkan ilmu
pengetahuan, sehingga tersebar luaslah pula pengajaran ilmu agama itu kepada
orang ramai. Beliau juga seorang penyair yang berbakat; apabila mengungkapkan
syairnya, nescaya mempersonakan. Juga seorang penuls yang puitis. Tulisannya
sungguh mengharu dan memikat hati. Apabila berpidato, sering menimbulkan minat
untuk mendengar, dan apabila berhuja, sering melumpuhkan. Beliau terkenal
seorang pengarang yang jelas segala ibaratnya, kukuh dalam pengolahannya,
mendalam segala perbahasannya, meneliti dalam pengambilannya, hujahnya terang,
penerangannya mengkagumkan, amat luas interpretasinya. Beliau sering
mengukuhkan pembicaraannya dengan ayat-ayat Al-Quranul Karim, dengan
hadis-hadis Nabi SAW dan kata bicara dari para tokoh dan imam, untuk mencabut
dari gangguan-ganguan dalam diri dan was-was dalam dada setiap yang syubhat dan
memperbetulkan setiap buruk sangka, sehingga tiada ditinggalkan sesuatu
mushkilah pun melainkan dicelanya, atau sesuatu persoalan pun melainkan
dijawabnya. Yang demikian itu dapat diikuti dalam semua karangan-karangannya,
umpamanya “An-Nasha’ah Ad-Dinniyah” dan sebuah risalah yang berjudul “Ad-Da’wah
At-Tamah”, dan risalah yang lain lagi berjudul “Al-Muzakkarah Ma’a Al-Ikhwan
Wal-Muhibbin”, yang lain lagi “Al-Fawassal Al-’Ilmiyyah” dan “Ithaf As-Sa’al
Ba’jawabah Al-Masa’al” dan sebuah dewan (kumpulan syairnya) yang terkenal itu.
Beliau r.a. telah diwafatkan pada petang hari Selasa, 7 haribulan Dzulkaedah
tahun 1132 Hijrah, dan dikebumikan di perkuburan Zanbal, kota Tarim. Moga-moga
Alah menggandakannya dengan balasan pahala yang banyak.
Dipetik dari: Nasihat Agama dan Wasiat Iman – Imam Habib
Abdullah Haddad terjemahan Syed Ahmad Smeth
0 komentar:
Posting Komentar